Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Semua orang sebenarnya layak untuk memberikan semangat ataupun motivasi kepada orang lain kerana dalam diri setiap insan itu pastinya terdapat aura motivasi yang tersendiri. Cuma yang membezakannya hanyalah tahap dan kekentalan motivasi mereka sendiri.
Terpegun saya membaca komen di sebuah blog yang menyatakan blog tersebut sebenarnya tidak layak untuk mengeluarkan artikel-artikel berbentuk motivasi. Ada yang menuduh penulisnya hanyalah bermain taktik kotor dan mahu mendapat keuntungan daripada penjualan ebook dalam blog tersebut. Betulkah penulis blog itu tidak layak?
Sebenarnya, setiap orang di sekeliling kita boleh dan layak untuk memberikan semangat ataupun motivasi kepada orang lain. Cuma kadang-kadang sesetengah orang malas untuk melakukannya. Malas untuk membantu orang lain dalam kesusahan. Alasan mereka, motivasi mereka masih lagi rendah dan ada juga berkata, “masalah dia biarlah dia yang selesaikan, buat apa nak menyibuk!!”.
Sebenarnya, motivasi dalam diri kita boleh diibaratkan seperti iman, boleh naik dan turun. Begitu juga dengan motivasi yang kadang-kadang boleh berubah-ubah dan bergantung kepada kerajinan seseorang individu itu sama ada untuk menyuburkannya ataupun membunuhnya. Kita sebagai manusia yang hidup bermasyarakat hendaklah saling membantu dalam meneruskan hidup ini. Sekiranya kawan kita mempunyai masalah, cubalah bantu mereka. Sekiranya kita tidak dapat membantu mereka pun, jadilah pendengar radio masalahnya yang setia! Sekurang-kurangnya kawan kita tersebut akan berasa sedikit lega setelah masalahnya diluahkan. Tetapi janganlah pula mendedahkan masalah dia kepada orang lain. Ingat, sekiranya kita menjaga keaiban orang lain, nescaya ALLAH akan menjaga keaiban kita.
Berbalik kepada perkara tadi, blog hanyalah sebagai landasan bagi mereka untuk menyebarkan dakwah. Dia punya blog, ikut dia la. Teringat ceramah ustaz di tempat saya, rasullullah sekiranya dia tidak suka akan seseorang, dia tidak akan mencela ataupun mencaci orang itu. Sepatutnya kita tidak boleh bertindak melulu memberi komen seperti itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pelawat-pelawat blog tersebut. Jika hendak menegur pun bukanlah diruangan komen. Lagi elok sekiranya hantar saja e-mail kepada penulis blog tersebut, barulah maruah semua pihak terjaga. Jika ingin menjadi pengkritik blog yang hebat pun, jadilah pengkritik yang berkualiti. Jangan hanya menyatakan kelemahan mereka sahaja, tetapi juga berilah sedikit input dan cadangan yang positif kepadanya.
Buat penulis blog berkenaan, bersabarlah sesungguhnya banyak ujian dalam kita berdakwah ni. Kembali semula kepada cara nabi kita berdakwah, bukannya senang begitu. Banyak juga cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh baginda. Semoga saudara ataupun saudari cekal dalam menghadapi dunia ini. Sekian.
Categories: Peribadi
