“Kalau jatuh, cepat-cepat bangun ya, jangan sampai mati tengah jalan”. 
Ayat itu saya ambil dalam cerita blogger boy season 2 episod satu. Dalam cerita tersebut memang Budi (watak utama dalam cerita ini) terjatuh ke tengah jalan dan hamper dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh uncle nya sendiri. Ayat itulah yang diucapkan oleh uncle kepadanya.
Apa yang saya nak ungkapkan di sini, ayat itu juga boleh di aplikasikan dalam realiti kehidupan kita. “Kalau jatuh, cepat-cepat bangun”, boleh diibaratkan seperti kalau kita gagal ataupun menemui kegagalan cepat-cepatlah bangkit dari kegagalan tersebut. Ada pepatah mengatakan, kegagalan itu bukanlah pengakhiran tetapi baru permulaan. Setiap orang yang berjaya semestinya pernah mengalami kegagalan. Tak kiralah kegagalan itu sekali ataupun beratus-ratus kali. Dalam dunia ini, sejarah telah membuktikan yang kebanyakan orang berjaya perlu mengharungi kegagalan. Jadi, tidak usah risau la sekiranya kita gagal kerana itu hanya baru permulaan.
Tetapi bagaimana pula dengan orang yang tidak pernah gagal? Mana mungkin dalam diri manusia tidak pernah gagal.Kita semua hanyalah manusia, tidak lari dari melakukan kesilapan. Jikalau kegagalan tidak menjelma sekarang, mungkin akan menjelma kelak. Sebab itu dijelaskan dalam buku “Berani Gagal” hasil penulisan Billy Lim, dia lebih takut akan orang yang berjaya tanpa menemui kegagalan dalam hidupnya berbanding dengan orang yang menghadapi beberapa kegagalan sebelum menemui kejayaan. Kenapa? Sebab orang itu tidak menemui guru yang paling penting dalam hidupnya iaitu GAGAL. Ingat, kegagalan adalah guru terbaik dalam kehidupan.
“Jangan sampai mati tengah jalan”, ayat ini sesuai digambarkan kepada orang yang sudah berputus asa dalam hidup disebabkan kegagalan yang menimpa dirinya. Tidak sepatutnya perkara ini terjadi kepada kita semua. Sekiranya menemui kegagalan, segeralah bangkit. Insyaallah, dengan apa yang kita usahakan selepas menemui kegagalan akan menemui kejayaan.
Teringat saya tentang satu teka-teki dalam buku “Berani gagal” tersebut, kenapa seseorang itu mati lemas dalam kolam air setelah terjatuh? Apa jawapan anda semua? Sebab tak tahu berenang, sebab air kolam itu dalam sangat dan bermacam-macam lagi jawapan yang saya terima. Tetapi bagaimana pula sekiranya saya mengatakan yang orang itu mati di kolam budak-budak? Fikirkan ya.
Jawapannya, kerana orang itu tidak mahu bangkit setelah terjatuh, tidak mahu berusaha untuk bangun semula selepas terjatuh tadi. Soalnya apa kaitannya dengan hidup kita? Seperti dikatakan tadi, sekiranya menemui kegagalan, segeralah bangkit. Jangan terus lemas (berputus-asa).
Ingat, kejayaan tidak bermakud kemenangan dan kegagalan itu tidak bermaksud kekalahan. Apa pula pendapat anda? Berikan komen anda di sini.
Source: ForecastOne.net
Categories: Motivasi
